Sayidina Ali Karamallahu Wajhah Dalam Menyatakan Perihal Kelebihan Ilmu Berbanding Harta

    Ilmu lebih baik daripada harta kerana ilmu merupakan pusaka para nabi, tetapi harta adalah pusaka Qarun dan Firaun.

    Ilmu lebih baik daripada harta kerana ilmu menjaga orang yang memilikinya, tetapi harta perlu dijaga oleh tuannya.

    Ilmu lebih baik daripada harta kerana ilmu menyebabkan ramai kawan, tetapi harta menyebabkan banyak musuh.

    Ilmu lebih baik daripada harta kerana ilmu jika diajar kepada manusia akan semakin bertambah, tetapi harta jika diberi kepada manusia akan semakin berkurangan.

    Ilmu lebih baik daripada harta kerana ilmu yang banyak menyebabkan seseorang itu menjadi mulia, tetapi harta yang banyak boleh menyebabkan bakhil.

    Ilmu lebih baik daripada harta kerana ilmu tidak dicuri, tetapi harta boleh dicuri / takut dicuri.

    Ilmu lebih baik daripada harta kerana ilmu akan menjadi syafaat / menolong tuannya pada hari akhirat, tetapi harta akan dihisab semasa akhirat.

    Ilmu lebih baik daripada harta kerana ilmu jika dibiarkan lama tidak rosak, tetapi harta akan rosak.

    Ilmu lebih baik daripada harta kerana ilmu yang banyak akan menyebabkan hati manjadi lembut dan tawaduk, tetapi harta yang banyak menyebabkan hati jadi keras dan angkuh.

    Ilmu lebih baik daripada harta kerana ilmu mewujudkan sifat kehambaan, iaitu menyebabkan seseorang itu menjadi baik, takut melakukan perkara-perkara buruk/maksiat, tetapi harta menyebabkan seseorang itu menjadi rakus dan lupa akan Allah/lupa akan tanggungjawab.

Thursday 20 January 2011

Salam Perkenalan Daripada Guru Perpustakaan Dan Media


Pihak Pengurusan PSS SMK Palong Dua (F), Gemas mengalu-alukan kunjungan kalian ke blog PSS kami. Blog ini dibina atas kesedaran untuk perkongsian maklumat selaras dengan hala tuju kehidupan mutakhir ini yang berpaksikan dunia tanpa sempadan. Tidak dapat dinafikan, perkongsian idea sering membuahkan hasil yang dihasratkan. Hal ini kerana segala kesukaran yang kita hadapi ketika merangka sesuatu tugas yang dipertanggungjawabkan dapat dipermudah dan disingkatkan dari segi jangka masanya lantaran lautan maklumat yang terbentang luas tanpa tepian kini terpapar jelas di skrin komputer, lebih-lebih lagi dengan munculnya blog dengan pelbagai genre yang begitu berpengaruh dalam dunia internet.  Justeru, PSS sekolah ini tidak mahu ketinggalan dalam arus perdana ini. Sebarang sikap yang bercorak menongkah arus, pasti akan terhukum sebagai golongan jumud dalam dunia virtual yang bersifat segala-galanya mungkin.

Kami berkeyakinan bahawa penggunaan blog akan memperluas  jaringan  sumber ilmu pengetahuan. PSS kami juga berhasrat  menjadi pemain  yang produktif dalam  jalinan  lebuh  raya  maklumat ini. Bersama-sama blog ini, kami pautkan serba sedikit info  bagi memenuhi maksud yang telah dinyatakan dalam perenggan awal alu-aluan ini. Untuk pengetahuan pengunjung yang dihormati, semua dokumen, fail, dan bahan yang terdapat dalam blog ini merupakan hasil sumbangan daripada beberapa orang warga staf akademik SMKPD yang terlibat secara langsung dalam disiplin profesionalisme mereka. Semua hak cipta adalah terpelihara dan milik sepenuhnya pss-smkp2.blogspot.com. Walau bagaimanapun, anda dibenarkan untuk berkongsi maklumat berkenaan selagi bahan-bahan tersebut tidak disalahgunakan. Selamat mengunjungi blog kami dan dipersilakan memuat turun bahan-bahan yang terdapat dalam blog ini sekiranya dapat membantu tugas kalian. Kami juga tidak berkeberatan untuk berkongsi informasi daripada pihak anda. “Kecil tapak tangan, nyiru kami tadahkan”. Sesungguhnya, ilmu yang bermanfaat itu hak milik mutlak Allah SWT. Kita sebagai hambanya bertanggungjawab menyebarluaskannya untuk kepentingan manusia sarwajagat.


PUAN ROZIANA BT HUSAIN

Thursday 13 January 2011

Bersama-sama Menghayati Konsep PSS Kontemporari

Perkembangan dunia pendidikan mutakhir ini telah membawa bersama-samanya perubahan konsep PSS daripada pandangan tradisional kepada persepsi yang berbentuk baharu hasil perkembangan bidang pendidikan yang bersifat dinamik dan peka terhadap sebarang perubahan yang berlaku di sekeliling kita.